Pada 1 Julai 2025, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah telah menganjurkan Program Wacana Ilmu & Anugerah Apresiasi Pendidikan 2025 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 bertempat di SJKC Kim Sen, Bukit Mertajam. Program gilang-gemilang ini menghimpunkan seramai lebih 700 orang guru dari pelbagai sekolah dalam daerah tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan dedikasi mereka dalam dunia pendidikan.


Acara istimewa ini turut diserikan dengan kehadiran penaja utama iaitu Onsmo, sebuah jenama yang tidak asing lagi dalam industri pencahayaan dan teknologi visual. Menyokong usaha murni ini, Onsmo telah menyediakan Onsmo 360 Photobooth, yang mendapat sambutan hangat daripada para guru serta tetamu yang hadir. Teknologi ini membolehkan para pengunjung merakam momen kenangan secara interaktif dan unik, sekaligus menambah elemen keceriaan dalam majlis penuh penghargaan ini.



Untuk pengetahuan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) adalah satu pengiktirafan khas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kepada warga pendidik dan kakitangan sokongan yang menunjukkan prestasi luar biasa dalam tugasan harian mereka. Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan individu, malah menjadi motivasi kepada semua untuk terus berkhidmat dengan cemerlang dalam sektor pendidikan.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah dan syabas kepada PPD Seberang Perai Tengah atas penganjuran acara yang begitu bermakna ini. Onsmo berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada sambutan ini dan berharap untuk terus menyokong dunia pendidikan melalui teknologi dan inovasi yang kami tawarkan.







